*Penafian: Cerita ini
adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup atau pun yang
telah meninggal dunia. Jika ada persamaan nama, tempat dan watak dengan dunia
sebenar, itu adalah kebetulan sahaja.*
Ameer Faruqi kelihatan cemas. Peluh jantan mengalir deras
daripada segenap sudut susuk tubuh gempalnya. Sudahlah dia memang senang
melekit. Situasi sebegini nyata tidak membantu. Dia melompat masuk ke dalam
dorm B08 dengan segera melalui celahan yang mana kepingan tingkap kaca telah pun dialihkan bagi memudahkannya
masuk dari koridor luar. Shaidil Eman yang sedang berbisik bergayut di sudut
dorm tampak kurang senang dengan kekalutan Ameer Faruqi yang sedang kaget di
tepinya.
Ameer Faruqi melihat ke setiap penjuru dormnya. Seakan
sedang mencari sesuatu. " Ah sudah, matilah aku! Baru ingat nak relaks
sambil tengok pemandangan kat koridor luar ni. Macam mana dia boleh lalu sini
pula petang-petang ni. Aku dah last case ni. Kalau ayah aku tau, memang mampus
aku kena kunci dalam bonet kereta ni kalau kena buang sekolah. Mampus! "
Ameer Faruqi bermonolog sendiri dalam hati sambil membayangkan dialog perbualan
antaranya dan bapanya jika dia dibuang sekolah.
Penghuni lain dorm B08, anggota 10 Jahanam gelaran yang diberikan
kepada 10 pelajar paling nakal di SMAPk untuk tahun 2003, kesemuanya melihat
sahaja Ameer Faruqi kekalutan mencari-cari sesuatu di dalam lokernya. Mereka semua hairan, apa agaknya
yang merasuk Ameer Faruqi sehingga dia jadi tak keruan pada petang Sabtu
begini?
Ameer Faruqi semakin gelisah tatkala mendengar deruman enjin
motor Honda Cup sedang melalui susur gajah antara blok B dan C. Dia bertambah-tambah
panik apabila bunyi enjin motor itu mati di tepi tangga antara blok A dan B.
" Dia dah sampai. Apa aku nak buat ni? $#$%@$&@*@) " Ameer Faruqi
mencarut-carut dalam hati. Tiba-tiba, dia dapat suatu idea yang agak
menjijikkan tapi ternyata dapat membantu melepaskan dia daripada permasalahan
yang menjerut. " Ah, gasaklah. Aku dah terdesak dah ni. Layankan aje "
Ameer Faruqi mengomel sambil meneruskan idea 'bernas'nya. Rakan-rakan dorm B08
semua terkejut melihat tindak-tanduk Ameer Faruqi. Buang tabiatkah?
" Assalamualaikum semua! Siapa yang hisap rokok di
koridor luar tadi?! Ustaz nampak. Baik mengaku cepat!" Teriak Ustaz
Muhyiddin atau lebih dikenali sebagai Tok Moh dikalangan para pelajar secara
tiba-tiba di muka pintu dorm B08 mengejutkan kesemua 10 Jahanam. Baru kini
mereka faham mengapa Ameer Faruqi bagai cacing kepanasan sedari tadi.
Masing-masing juga berasa bengang dengan Ameer Faruqi, sudahlah dia punca Tok
Moh menyerbu dorm dan mengganggu petang hujung minggu mereka, tak beri amaran
pula tu dia nak datang. Menggelupur kesemuanya mencari kain pelikat ataupun
seluar panjang untuk dikenakan. Maklumlah lelaki, jika di dorm, memang biasanya
hanya berseluar dalam kecuali Nik Hasrul yang cintakan kebebasan.
Selesai menyediakan diri untuk tidak mendedahkan aurat, mereka
termasuk Ameer Faruqi berdiri di depan katil masing-masing. Kesemuanya tunduk terdiam
sambil kaki menguis-menguis lantai berdebu yang tak pernah disapu sejak sesi
persekolahan bermula. Mereka tau, apabila Tok Moh mengenakan seluar sukan
ungunya itu, akan ada mangsa yang bernasib malang. Bak kata Russell Peters, 'somebody
gonna get hurt real bad'. Setakat ini, belum ada yang terselamat daripada
kehebatan mukjizat seluar ungu itu. Adakah Ameer Faruqi bakal jadi yang
pertama?
" Ooo, tiada yang nak mengaku ye. Baiklah, hulur tangan
masing-masing ke depan. Siapa yang tangannya berbau rokok, saya nasihatkan baik
sediakan wasiat sekarang." Gertak Tok Moh sambil berharap ada yang akan
tampil ke depan untuk mengaku. Melihatkan kesemuanya tak berganjak daripada
posisi senang diri mereka, Tok Moh pun mula menghidu jari mereka satu-persatu
bermula dari Ahmad Hafiz yang katilnya terletak paling hampir dengan pintu. Anehnya,
Ameer Faruqi yang menggelupur sejak tadi tampak agak tenang. Mungkinkah ini
sandiwaranya bagi mengelirukan Tok Moh? Mengenangkan drama kegemaran Ameer
Faruqi adalah La Usurpadora, yang bermaksud penyamaran, yang ditontonnya tanpa
jemu setiap hari di bilik TV selepas prep petang, agak logik bahawa ini adalah
penyamarannya untuk nampak tidak bersalah.
Satu-persatu tangan ahli 10 Jahanam dihidu. Pelbagai jenis aroma
menusuk ke hidung Tok Moh namun bukan bau rokok yang dicari. Akhirnya Tok Moh
tiba di hadapan Ameer Faruqi. Dia yakin pasti ini adalah orangnya kerana dia
adalah yang terakhir. Tambahan pula, Ameer Faruqi asyik memandang lantai tidak
berani bertentang mata dengannya, ciri-ciri seorang pesalah. Tok Moh sangat
yakin dia telah menjumpai mangsanya untuk
hari itu. Perlahan-lahan dia tunduk ke depan mendekati jari-jemari Ameer Faruqi
yang dihulurkan kepadanya. Tok Moh menghembus nafas panjang bersedia untuk
menarik nafas dan menyedut bauan yang dia yakin sudah pastinya bau rokok murah
yang dihisap oleh Ameer Faruqi sebentar tadi.
" Astaghfirullahalazim! Bau apa ni?!!! Busuknya! "
Tok Moh separa menjerit usai menyedut bau semerbak daripada jari Ameer Faruqi.
Shaidil Eman di sebelahnya menggigil hingga bergoyang-goyang rambut depannya.
Ahmad Hafiz yang selalu basah tapak tangannya menjadi semakin basah. Hidung
jawa Muhammad Hafiz kembang kempis dengan dahsyatnya. Mata Nik Hasrul yang
kecil sebelah menjadi sama kecil. Sengihan hitam manis Mohd Zaidi semakin
melebar. Telinga capang Ahmad Ehsan kemerah-merahan. Tangan Mohamad Nazri
semakin laju menggaru celahan kelangkangnya yang tidak gatal. Kaki Fahmi Rahmi
semakin menyudut ke dalam seperti Roberto Carlos ingin mengambil sepakan
percuma. Sosok kerdil Ahmad Dinie terjengket-jengket cuba menstabilkan diri.
Semuanya gara-gara cuba menahan ketawa kerana mereka tau apa yang dilakukan
oleh Ameer Faruqi sehingga Tok Moh bereaksi sebegitu rupa.
Tok Moh masih kelihatan terkejut. Tidak pernah dia menghidu
bau busuk sebegitu. Juga kerana dia tidak menyangka tiada bau rokok daripada
tangan Ameer Faruqi yang sepatutnya adalah pesalah yang dicari. Dia jadi
keliru. Perlahan-lahan dia berjalan keluar dari dorm B08 seperti orang hilang
ingatan. Mungkin kerana masih trauma dengan bau yang dihidunya tadi. Suasana di
B08 hening seketika. Sehinggalah mereka mendengar bunyi motor Honda Cup Tok Moh
dihidupkan dan berlalu pergi. Lantas, seluruh isi B08 dipenuhi dengan gelak
tawa berdekah-dekah. Sampai ada yang berguling-guling di atas lantai melepaskan
rasa lucu yang ditahan sekian lama.
" Dahsyat betul kau ni Ameer Faruqi, bukan setakat kau
berjaya tutup jejak bau rokok daripada jari, kau juga buat Tok Moh hidu bau
lubang dubur kau. Kah kah kah!!! " Ahmad Dinie memuji Ameer Faruqi sambil
masih berguling di lantai ketawa terbahak-bahak. Ameer Faruqi tersenyum kelat
menerima komen Ahmad Dinie tersebut. Dia merenung jari-jemarinya yang baru
sahaja sebentar tadi dirodok rakus ke dalam lubang duburnya tanpa berfikir
panjang. Dia menghembus nafas lega terselamat daripada Tok Moh dan seluar
ungunya. Ketika dia berjalan kengkang seperti penguin di Kutub Utara menuju ke
bilik air untuk membasuh tangan, dia tertawa kecil sendiri memikirkan
kebijaksanaannya~
Petang ini: Cuaca panas namun masih ada redupnya. Mungkin merencanakan hati yang marah pada cinta namun masih ingin terus meredupkan hatinya~

2 comments:
next story pleaseeee
Tengoklah kalau rajin. Haha
Post a Comment