Showing posts with label sakit jiwa. Show all posts
Showing posts with label sakit jiwa. Show all posts

KERANA AKU PENGHIBUR

Bila dapat berita Robin Williams meninggal Ogos yang lepas, aku betul-betul terkejut. Macam manalah seorang penghibur yang lakonannya selalu kelakar dan memberikan inspirasi boleh bunuh diri? Sama macam kes Owen Wilson cuba bunuh diri sebab putus cinta. Macam mana mamat yang kerjanya buat orang ketawa boleh mengalami tekanan jiwa sampai macam tu sekali? 

Kedua-dua kes ini membuatkan aku teringat filem Hindi (antara yang paling legend bagi aku) bertajuk Mere Naam Joker lakonan Raj Kapoor. Filem lama tak ingat tahun bila. Aku masih ingat aku tengok cerita ni masa Darjah 4 kot kat Kelantan (first time naik flight masa ni). Masa mula-mula tengok cerita ni kat rumah kawan ayah aku, takdelah best mana pun. Cerita depressing berat nak mampus memnag budak darjah 4 tak boleh nak hadam. Sehinggalah ada satu babak hero (masa tu dia remaja) skodeng cikgu dia salin baju semasa mandi sungai time lawatan sekolah. Pada masa tu, Lembaga Penapisan Filem tak seketat sekarang. Tok Mat tengah sibuk gunting rambut penyanyi rock tak terfikir dia nak buat rating U, 18SX, etc. Aku masa tu tak faham apa benda yang menarik sangat babak ni (naif kan? #comel). Cuma ada sesuatu yang dalam hormon aku menyebabkan aku nak tengok lebih lanjut. Punyalah semangat sampai balik hotel aku sambung tengok walaupun ada cerita Brad Pitt cakap Siam kat channel lain. 

Ceritanya adalah tentang Raj Kapoor yang hidup susah sejak kecil. Tak berapa ingat sangat plot tapi dia jadi badut sebab itu je yang dia tau. Dan sepanjang perjalanan hidup dia, asyik kecewa je. Daripada bercinta dengan cikgu, sampai minah saleh yang dia kenal kat sirkus sampailah ke wanita hindi, semua berakhir dengan kekecewaan. Penamat cerita ni sangat tragis yang mana dia buat persembahan terakhir kat sirkus dia di depan ketiga-tiga bekas teman wanita dia dan mati. Sebagai budak darjah 4, aku rasa cerita tu sangat depressing, lebih depressing daripada Robocop. Entah kenapa plot tu melekat kuat dalam ingatan aku (mungkinkah kerana babak cikgu salin baju itu?). 

Kemudian, ada juga filem terbaik lakonan Stephen Chow (bagi aku) iaitu King Of Comedy. Ini cerita kedua yang aku selalu ulang tengok (lepas Rocky dan sebelum The Rock). Kalau nak harapkan komedi kaw-kaw, cerita ni memang tak sangat tapi plot dia sangat berat dan agak tersirat walaupun Stephen Chow terus buat lawak dengan muka selenga dia. Ceritanya tentang karakter Stephen Chow yang bekerja sebagai penjaga pusat komuniti dan part time pelakon tambahan. Hidup miskin dan malang, sehinggalah Cecilia Cheung (pelakon wanita HK paling aku suka), seorang GRO yang tak reti jadi gedik ditugaskan oleh mak ayamnya untuk belajar berlakon dengan Stephen Chow. Time mengajar dan belajar ni, mereka jatuh cinta tapi Stephen Chow macam tak berapa nak sebab minah ni GRO. Maka, heroin pun resign jadi GRO untuk bersama hero yang sengkek ini. Tapi lepas hero dapat offer berlakon filem besar, dia mula segan nak ngaku Cecilia ni awek dia. Selepas perlbagai dugaan (Stephen Chow kena reject daripada jadi hero, kena jadi spy polis, etc) berlaku, barulah akhirnya mereka bersatu dan berjaya. Ending gembira, tak macam cerita Joker. 

Moral kedua-dua cerita ni mengikut perspektif aku sama, tentang hidup susah, sentiasa dalam masalah tapi sentiasa kena memalsukan emosi kerana kerja. Watak pelakon, GRO dan badut adalah karakter yang mana, walaubagaimanapun susahnya hidup ni, kena simpan semua emosi kerana komitmen kerja. Tiada siapa peduli tentang masalah mereka. Yang mereka harapkan adalah persembahan mereka sebagai pelakon, GRO dan badut. Karakter GRO dan pelakon ini akhirnya jatuh cinta adalah kerana kedua-duanya faham seksanya nak memalsukan emosi ni. 

Apa kaitan filem-filem ini dengan Robin Williams dan Owen Wilson? Rata-rata terkejut mereka ini bunuh diri (cuba) kerana sudah terbiasa dengan karakter mereka. Kita melihat mereka sebagai penghibur, bukan manusia biasa. Di Malaysia terutamanya, kita melihat seseorang berdasarkan karakter yang tersurat tanpa memikirkan yang tersirat. Sebagai contoh, jika ada sahabat yang selalu melawak dan peramah tiba-tiba diam, kita akan paksa dia untuk buat lawak. Tak fikir pun masalah mamat ni sebab kita rasa, orang yang selalu gembira ni mesti takde benda yang dirisaukan. Disebabkan pemikiran ini, masyarakat kita agak skeptikal dengan isu depression. Di negara Barat, kita biasa tengok babak karakter mendapatkan rawatan daripada psychiatrist. Daripada drama seperti Silver Lining Playbook sehinggalah ke filem aksi seperti Avengers (siapa stay lepas habis movie akan tau).
 
Tapi di Malaysia, ramai yang depress ini malu nak meluahkan dan tak nak mencari rawatan kerana bimbang dianggap gila. Pemikiran sebegini mengakibatkan kes bunuh diri, tikam mak sendiri, bakar isteri, etc. Kita sebagai orang sekeliling perlu peka dan kena ambil berat mereka di sekeliling yang kita sayangi. Ambil masa, cari tempat sesuai dan cuba tanyakan jika boleh dibantu. Jika dia tidak mau, cadangkan agensi NGO seperti Befrienders dan profesional lain yang boleh membantu. Pada zaman panglima papan kekunci ini, depression makin menjadi-jadi kerana akses yang terlalu meluas melalui media sosial. Maka, jika kita lihat, ada artis terutamanya pelawak yang walaupun dikecam-kecam bertubi-tubi tapi terus menghiburkan kita, ketahuilah mereka berkelakuan sebegitu atas dasar “kerana aku penghibur”.

Petang ini: Cuaca redup selepas hujan. Agak damai tapi tuhan saja yang tau musibah yang melanda. Hidup tunggang langgang terus jadinya. Tapi inshaAllah akan diberikan kekuatan untuk menghadapinya. Allah itu ada.

Drive it to believe it~

Semalam aku diminta menghantar tender ke PJH di Putrajaya sebelum pukul 12. Bertolak dalam 11.15 dari KL Sentral, memang agak rushing. Tapi dalam pada rushing tu, aku terdapat satu idea untuk menunjukan kehebatan handling dan auto-cruise Proton Preve.

Maka terhasillah video ini hasil daripada semangat Kadim yang semangat je nak rakam aku drive. Haha. Thanks bro!

Jangan tiru aksi ini dengan kereta anda!

Petang ini: Hujan lebat. Mood pun suram. Menunggu orang berjanji yang tak kunjung tiba memang menyakitkan hati. Aku end up tidur dalam kereta dari pukul 7 sampai 8. Nasib baik lah ada anak-anak kucing baru lahir mengubat hati kat rumah~

Gementar Patah Ke Bawah

Sejak daripada umur 13 tahun, aku telah dibebankan dengan tanggungjawab yang sangat besar dalam keadaan terpaksa. Dan selama 13 tahun juga, aku dengan jayanya mengelak daripada semua tanggungjawab itu dengan memandang enteng segala amanah yang diberi. Bukan tak pernah mencuba untuk menggalas beban tu semua, tapi setiap kali hati berkobar-kobar nak menjadi insan (damn you auto-correct tukar insan jadi insane) yang berguna, setiap kali itulah aku akan dihampakan oleh mereka di sekeliling (menuding jari adalah antara kelebihan aku yang paling hebat).

Tapi bila fikir-fikir balik, tak boleh salahkan orang lain. Aku yang cepat sangat putus asa. Walaubagaimana teruk pun respons mereka, pada akhirnya, mereka tetap keluarga, kawan, dan kerja yang perlu aku hadapi setiap masa. Tidak dapat tidak, kena juga tanggung.

Selama ni rasa malas sangat nak ambil pusing semua ni. Sampai diri sendiri pun tak terjaga. Jangan kata tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara, tanggungjawab ke atas diri sendiri pun tak lepas. Makan, mandi, kerja, semua main belasah ikut suka je. Displin bukanlah perkataan yang sinonim dengan rutin hidup aku.

Nak berazam berubah, tiap-tiap tahun ulang skrip sama. Merujuk kepada ayat seorang sahabat, bila diri sendiri terlalu memaksa, ketika itulah diri kita sebenarnya sedang gagal. Tapi kalau tak usaha langsung lagi teruk. Nak cari keseimbangan yang sempurna itu adalah misteri kehidupan yang perlu dirungkai (perkataan kegemaran Melodi) supaya diri ini tidaklah malas mengharapkan perubahan sekelip mata namun tidaklah gila kerana tekanan akibat terlalu berusaha.

Hari ini hari yang penuh dengan kecelaruan minda. Terima kasih bos atas perlian anda. Lama sungguh aku termenung di tangga tadi. Tapi mungkin sudah sampai masanya, potensi yang dilihat oleh orang lain selama ini, dipenuhi dengan jayanya. Oh yeaahhh!!~

Antara gambar kegemaran yang diambil sendiri, cahaya matahari menerobos awan hujan renyai-renyai~

Petang ini: Langit kelam, cuaca redup mendung. Seperti mahu hujan tetapi kemudian sekadar berarak pilu~

 

© Copyright Sepetang Bersama Cepetang . All Rights Reserved.

Designed by CepetWorld and sponsored by CepetangMagazine

Cepetang created by Cepet