BAU JARI AMEER FARUQI

*Penafian: Cerita ini adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup atau pun yang telah meninggal dunia. Jika ada persamaan nama, tempat dan watak dengan dunia sebenar, itu adalah kebetulan sahaja.*

Ameer Faruqi kelihatan cemas. Peluh jantan mengalir deras daripada segenap sudut susuk tubuh gempalnya. Sudahlah dia memang senang melekit. Situasi sebegini nyata tidak membantu. Dia melompat masuk ke dalam dorm B08 dengan segera melalui celahan yang mana kepingan tingkap  kaca telah pun dialihkan bagi memudahkannya masuk dari koridor luar. Shaidil Eman yang sedang berbisik bergayut di sudut dorm tampak kurang senang dengan kekalutan Ameer Faruqi yang sedang kaget di tepinya.

Ameer Faruqi melihat ke setiap penjuru dormnya. Seakan sedang mencari sesuatu. " Ah sudah, matilah aku! Baru ingat nak relaks sambil tengok pemandangan kat koridor luar ni. Macam mana dia boleh lalu sini pula petang-petang ni. Aku dah last case ni. Kalau ayah aku tau, memang mampus aku kena kunci dalam bonet kereta ni kalau kena buang sekolah. Mampus! " Ameer Faruqi bermonolog sendiri dalam hati sambil membayangkan dialog perbualan antaranya dan bapanya jika dia dibuang sekolah.

Penghuni lain dorm B08, anggota 10 Jahanam gelaran yang diberikan kepada 10 pelajar paling nakal di SMAPk untuk tahun 2003, kesemuanya melihat sahaja Ameer Faruqi kekalutan mencari-cari sesuatu di dalam  lokernya. Mereka semua hairan, apa agaknya yang merasuk Ameer Faruqi sehingga dia jadi tak keruan pada petang Sabtu begini?

Ameer Faruqi semakin gelisah tatkala mendengar deruman enjin motor Honda Cup sedang melalui susur gajah antara blok B dan C. Dia bertambah-tambah panik apabila bunyi enjin motor itu mati di tepi tangga antara blok A dan B. " Dia dah sampai. Apa aku nak buat ni? $#$%@$&@*@) " Ameer Faruqi mencarut-carut dalam hati. Tiba-tiba, dia dapat suatu idea yang agak menjijikkan tapi ternyata dapat membantu melepaskan dia daripada permasalahan yang menjerut. " Ah, gasaklah. Aku dah terdesak dah ni. Layankan aje " Ameer Faruqi mengomel sambil meneruskan idea 'bernas'nya. Rakan-rakan dorm B08 semua terkejut melihat tindak-tanduk Ameer Faruqi. Buang tabiatkah?

" Assalamualaikum semua! Siapa yang hisap rokok di koridor luar tadi?! Ustaz nampak. Baik mengaku cepat!" Teriak Ustaz Muhyiddin atau lebih dikenali sebagai Tok Moh dikalangan para pelajar secara tiba-tiba di muka pintu dorm B08 mengejutkan kesemua 10 Jahanam. Baru kini mereka faham mengapa Ameer Faruqi bagai cacing kepanasan sedari tadi. Masing-masing juga berasa bengang dengan Ameer Faruqi, sudahlah dia punca Tok Moh menyerbu dorm dan mengganggu petang hujung minggu mereka, tak beri amaran pula tu dia nak datang. Menggelupur kesemuanya mencari kain pelikat ataupun seluar panjang untuk dikenakan. Maklumlah lelaki, jika di dorm, memang biasanya hanya berseluar dalam kecuali Nik Hasrul yang cintakan kebebasan.

Selesai menyediakan diri untuk tidak mendedahkan aurat, mereka termasuk Ameer Faruqi berdiri di depan katil masing-masing. Kesemuanya tunduk terdiam sambil kaki menguis-menguis lantai berdebu yang tak pernah disapu sejak sesi persekolahan bermula. Mereka tau, apabila Tok Moh mengenakan seluar sukan ungunya itu, akan ada mangsa yang bernasib malang. Bak kata Russell Peters, 'somebody gonna get hurt real bad'. Setakat ini, belum ada yang terselamat daripada kehebatan mukjizat seluar ungu itu. Adakah Ameer Faruqi bakal jadi yang pertama?

" Ooo, tiada yang nak mengaku ye. Baiklah, hulur tangan masing-masing ke depan. Siapa yang tangannya berbau rokok, saya nasihatkan baik sediakan wasiat sekarang." Gertak Tok Moh sambil berharap ada yang akan tampil ke depan untuk mengaku. Melihatkan kesemuanya tak berganjak daripada posisi senang diri mereka, Tok Moh pun mula menghidu jari mereka satu-persatu bermula dari Ahmad Hafiz yang katilnya terletak paling hampir dengan pintu. Anehnya, Ameer Faruqi yang menggelupur sejak tadi tampak agak tenang. Mungkinkah ini sandiwaranya bagi mengelirukan Tok Moh? Mengenangkan drama kegemaran Ameer Faruqi adalah La Usurpadora, yang bermaksud penyamaran, yang ditontonnya tanpa jemu setiap hari di bilik TV selepas prep petang, agak logik bahawa ini adalah penyamarannya untuk nampak tidak bersalah.

Satu-persatu tangan ahli 10 Jahanam dihidu. Pelbagai jenis aroma menusuk ke hidung Tok Moh namun bukan bau rokok yang dicari. Akhirnya Tok Moh tiba di hadapan Ameer Faruqi. Dia yakin pasti ini adalah orangnya kerana dia adalah yang terakhir. Tambahan pula, Ameer Faruqi asyik memandang lantai tidak berani bertentang mata dengannya, ciri-ciri seorang pesalah. Tok Moh sangat yakin dia telah menjumpai  mangsanya untuk hari itu. Perlahan-lahan dia tunduk ke depan mendekati jari-jemari Ameer Faruqi yang dihulurkan kepadanya. Tok Moh menghembus nafas panjang bersedia untuk menarik nafas dan menyedut bauan yang dia yakin sudah pastinya bau rokok murah yang dihisap oleh Ameer Faruqi sebentar tadi.

" Astaghfirullahalazim! Bau apa ni?!!! Busuknya! " Tok Moh separa menjerit usai menyedut bau semerbak daripada jari Ameer Faruqi. Shaidil Eman di sebelahnya menggigil hingga bergoyang-goyang rambut depannya. Ahmad Hafiz yang selalu basah tapak tangannya menjadi semakin basah. Hidung jawa Muhammad Hafiz kembang kempis dengan dahsyatnya. Mata Nik Hasrul yang kecil sebelah menjadi sama kecil. Sengihan hitam manis Mohd Zaidi semakin melebar. Telinga capang Ahmad Ehsan kemerah-merahan. Tangan Mohamad Nazri semakin laju menggaru celahan kelangkangnya yang tidak gatal. Kaki Fahmi Rahmi semakin menyudut ke dalam seperti Roberto Carlos ingin mengambil sepakan percuma. Sosok kerdil Ahmad Dinie terjengket-jengket cuba menstabilkan diri. Semuanya gara-gara cuba menahan ketawa kerana mereka tau apa yang dilakukan oleh Ameer Faruqi sehingga Tok Moh bereaksi sebegitu rupa.

Tok Moh masih kelihatan terkejut. Tidak pernah dia menghidu bau busuk sebegitu. Juga kerana dia tidak menyangka tiada bau rokok daripada tangan Ameer Faruqi yang sepatutnya adalah pesalah yang dicari. Dia jadi keliru. Perlahan-lahan dia berjalan keluar dari dorm B08 seperti orang hilang ingatan. Mungkin kerana masih trauma dengan bau yang dihidunya tadi. Suasana di B08 hening seketika. Sehinggalah mereka mendengar bunyi motor Honda Cup Tok Moh dihidupkan dan berlalu pergi. Lantas, seluruh isi B08 dipenuhi dengan gelak tawa berdekah-dekah. Sampai ada yang berguling-guling di atas lantai melepaskan rasa lucu yang ditahan sekian lama.

" Dahsyat betul kau ni Ameer Faruqi, bukan setakat kau berjaya tutup jejak bau rokok daripada jari, kau juga buat Tok Moh hidu bau lubang dubur kau. Kah kah kah!!! " Ahmad Dinie memuji Ameer Faruqi sambil masih berguling di lantai ketawa terbahak-bahak. Ameer Faruqi tersenyum kelat menerima komen Ahmad Dinie tersebut. Dia merenung jari-jemarinya yang baru sahaja sebentar tadi dirodok rakus ke dalam lubang duburnya tanpa berfikir panjang. Dia menghembus nafas lega terselamat daripada Tok Moh dan seluar ungunya. Ketika dia berjalan kengkang seperti penguin di Kutub Utara menuju ke bilik air untuk membasuh tangan, dia tertawa kecil sendiri memikirkan kebijaksanaannya~

Petang ini: Cuaca panas namun masih ada redupnya. Mungkin merencanakan hati yang marah pada cinta namun masih ingin terus meredupkan hatinya~
 

© Copyright Sepetang Bersama Cepetang . All Rights Reserved.

Designed by CepetWorld and sponsored by CepetangMagazine

Cepetang created by Cepet