Apa Cita-Cita Kamu?

Dulu masa sekolah, bila sesi persekolahan baru bermula, masa memperkenalkan diri antara soalan yang wajib ditanya adalah “Apa-apa cita kamu?” Bila habis sesi/ pindah sekolah, cita-cita antara perkara wajib yang dinyatakan dalam buku bioadata selain daripada makanan dan minuman kegemaran (yang mana majoriti muslimin dan muslimat akan letak “semua yang halal”, ppffftt). Bila ditanya soalan ni masa sekolah rendah, antara jawapan popular adalah ahli bomba, polis, tentera, saintis, dan angkasawan (mana nak tau susah rupanya nak jadi angkasawan di Malaysia). Aku masa tu jawab nak jadi penjual ayam (logik budak-budak, penjual ayam boleh makan ayam banyak-banyak) sebab tak puas kena kongsi seketul ayam 4 orang masa tu. Satu kelas semua gelak. Bila cikgu cerita kat mak aku, dia pun gelak juga. Walhal, kalau aku teruskan usaha nak jadi tauke ayam, dah jutawan mungkin aku sekarang ni (kontrak bekalkan ayam ke KFC ada RM1 juta jugalah nilainya).

Itu masa darjah rendah. Naik darjah 5, cita-cita aku nak jadi jurutera robot. Terpengaruh tengok Voltron, Power Rangers, Cybercop, Transformers (ni zaman sebelum Michael Bay jadikan Transformers lubuk duit dia) dan Saber Rider. Setiap kali kelas pendidikan seni, mesti aku lukis robot. Tak kisahlah tema apa pun. Tajuk “Kampung Halamanku” tapi tiba-tiba ada robot berlatarbelakangkan awan di celah-celah matahari, burung bentuk Y, sawah padi petak-petak (padahal kampung aku mana ada sawah, ladang nenas ada laa), dan rumah kayu berpintu dan tingkap petak-petak. Aku rasa lukisan robot aku adalah benda paling cantik pernah aku lukis (sampai sekarang pun).

Naik darjah 6, jadi realistik sikit sebab masuk kelas pandai. Maka, bila ditanya cikgu apa cita-cita, aku jawab nak jadi juruterbang (masa ni terpengaruh dengan Thunderbirds dan Ultraman pula). Malangnya, tahun tu juga aku disahkan rabun jauh. Terus aku lepaskan cita-cita nak juruterbang ni. Pada masa inilah aku sedar, kalau aku boleh jadi apa sahaja, mestilah nak jadi manusia paling berkuasa di dunia (terpengaruh dengan cerita-cerita yang orang jahat kerjanya nak menakluk dunia macam The Pinky and The Brain). Mula-mula nak jadi Perdana Menteri, tapi fikir balik PM Malaysia takde laa besar mana. Fikir lagi, jawatan paling berkuasa adalah Presiden USA (sebab masa ni setiap hari nama Bill Clinton keluar Dunia Jam 10 sebab skandal Monica Lewinsky laa, Somalia laa, Palestin laa) tapi aku bukan warganegara USA. Ketika inilah satu nama terus muncul dalam kepala otak aku - 
Boutros Boutros-Ghali (sampai sekarang tak faham kenapa nama dia kena ulang 2 kali, macam Eric Djemba Djemba).

Masa aku membesar, tak banyak benda boleh dibuat di rumah. Sebelum ada PC (tahun 1996 baru ada, Windows 95, game Doom, Gods, Prince, etc menyebabkan aku jadi gamers)  dan Astro (rasanya tahun 1998, channel pun adalah 30 je kot masa ni), nak mengisi lapang aktiviti sangatlah terhad. 
Masa duduk Kampung Pandan merasa juga dikejar angsa, pindah Pandan Indah tengah-tengah bandar rumah depan jalan besar terus sangap. Nak main Mario kat Atari, kena tunggu ayah ada kat rumah. Nak main Tetris, kena berebut dengan nenek (Allahyarham suka main game ni sambil tidurkan adik). Nak panjat pokok mangga, nanti Achik report kat ayah. Nak keluar jalan-jalan, rumah kawan semua jauh. Nak main wrestling , Along asyik low blow je. Asyik main masak-masak, kahwin-kahwin dah bosan (membesar dengan 5 adik-beradik perempuan, ada pilihan ke?). Maka masa lapang aku banyak terisi dengan membaca. Semua benda aku baca daripada Mutiara Naga, Pendekar Laut dan Misteri Naga yang aku beli dengan hasil tabungan duit belanja sehinggalah ke Readers Digest, Newsweek dan TIME yang ayah aku langgan.

Disebabkan ayah aku kerja bahagian berita RTM masa tu, setiap kali dia ada kat rumah mesti tengok berita (Allahyarham langgan Astro pun sebenarnya sebab CNN je). Pada masa inilah nama Boutros Boutros-Ghali asyik keluar. Setiap kali berita, tak kisahlah TV ke, majalah ke, suratkhabar ke, nama dia setiap masa ada. Kes perang Bosnia, perang Somalia, perang Israel-Palestin, perang Rwanda, krisis Timur Tengah, semua benda dia terlibat. Aku rasa masa tu mamat ni memang power (tapi lepas dah tua ni baru tau dia antara SU Agung PBB yang paling teruk). Terus kaji apa jawatan dia dan bermula dari saat itu, cita-cita aku adalah untuk menjadi Setiausaha Agung PBB. Walaupun pernah sejenak bercita-cita nak jadi Pembaca Berita CNN (masa tu fikir nak kalahkan ayah je, apa barang RTM), tapi sampai sekarang ini masih cita-cita aku. Dengan kerja yang aku buat sekarang ni, memang jauh tersasarlah nak capai cita-cita ni. Tapi manalah tau tiba-tiba terbuka jalan. Boutros Boutros-Ghali masa jadi SU Agung PBB pun dah tua gila kot.

Itu cerita zaman sekolah rendah. 
Masuk menengah rendah masih rajin cikgu tanya soalan cita-cita ni. Masuk menengah atas, lepas dah boleh pilih aliran, makin jarang. Dalam buku biodata pun dah tak letak dah cita-cita. Masuk zaman matriks dan universiti, soalan ni lagilah jarang ditanya.  Hampir tiada. Mungkin sebab pilihan kerjaya yang boleh dipilih semakin sedikit disebabkan jalan yang semakin sempit. Habis belajar nak masuk kerja, makin mustahil nak dengar soalan ni. Habis kuat pun, soalan ”Di mana anda lihat diri anda 5 tahun lagi?” masa interview kerja. Maka kita pun tanpa sedar perlahan-lahan menjadi robot yang mengikut hukum ketetapan sekeliling. Cita-cita masa kecil disorok dalam ruang paling jauh dalam hati. Dah tak jadi cita-cita, tinggal angan-angan je.

Disebabkan inilah ramai antara kita mula jadi zombie, ikut rutin harian tanpa kerelaan. Masa lapang diluahkan untuk mengeluh dan merintih. Motivasi semakin pudar. Bekerja kerana duit, bukan kerana minat. Keghairahan berusaha semakin malap. Masa ni, karier yang dipilih mestilah stabil dan menjanjikan pendapatan yang berpatutan. Komitmen semakin banyak. Hutang keliling pinggang. Tiada masa untuk berangan-angan (atau bercita-cita). Di sinilah kebanyakannya kita tersilap. Semasa kecil, setiap kali bagitau cita-cita, mesti kita lontarkan dengan penuh semangat. Tapi bila semakin kurang ditanya, kita pun semakin lupa cita-cita yang dipendam. Tiada siapa nak mengingatkan. Maka, mungkin sudah sampai masa untuk kita masing-masing bertanya kepada diri sendiri, apa sebenarnya cita-cita kita? Apa yang dikejar? Ke manakah destinasi dituju?

Biarlah cita-cita tu nak anak 8 ke, nak kahwin 4 ke, nak ada empayar perniagaan sendiri ke, janji kita ada matlamat untuk dituju. Tanpa cita-cita, kita ke akan depan tanpa arah. Cita-cita adalah Waze kehidupan yang membantu menunjukkan jalan ke destinasi. Walaupun Waze ni kadang-kadang sesat lagi menyesatkan, sekurang-kurangnya kita masih boleh berpatah balik atau pun mencari haluan lain. Janji sampai ke destinasi. Biarkan cita-cita ini berubah-ubah pun takpe, janji ada. Berapa ramai antara kita, bila ditanya apa hala tuju hidup kita (dari sudut duniawi), yang blank bila nak jawab? Sampai bila harus sesat?
Sekarang ni, sebagai penamat bicara, aku nak tanya, ‘Apa cita-cita kamu?”


Petang ini: Entahlah cuaca macam mana. Redup kot. Terperap di pejabat buat kerja tak jenguk pula tingkap. Kerja banyak tapi hati girang dapat bos baru. Sejak syarikat tukar pengurusan daripada MRCB Technologies ke XMT Technologies ni, macam dapat semangat baru bekerja. Daripada nak letak jawatan, sekarang terus tak jadi. Kecuali dapat tawaran jadi Setiausaha Agung PBB ar. Hihi~

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright Sepetang Bersama Cepetang . All Rights Reserved.

Designed by CepetWorld and sponsored by CepetangMagazine

Cepetang created by Cepet