Dulu masa sekolah, bila sesi persekolahan baru bermula, masa
memperkenalkan diri antara soalan yang wajib ditanya adalah “Apa-apa cita
kamu?” Bila habis sesi/ pindah sekolah, cita-cita antara perkara wajib yang dinyatakan
dalam buku bioadata selain daripada makanan dan minuman kegemaran (yang mana
majoriti muslimin dan muslimat akan letak “semua yang halal”, ppffftt). Bila
ditanya soalan ni masa sekolah rendah, antara jawapan popular adalah ahli
bomba, polis, tentera, saintis, dan angkasawan (mana nak tau susah rupanya nak
jadi angkasawan di Malaysia).
Aku masa tu jawab nak jadi penjual ayam (logik budak-budak, penjual ayam boleh
makan ayam banyak-banyak) sebab tak puas kena kongsi seketul ayam 4 orang masa
tu. Satu kelas semua gelak. Bila cikgu cerita kat mak aku, dia pun gelak juga.
Walhal, kalau aku teruskan usaha nak jadi tauke ayam, dah jutawan mungkin aku
sekarang ni (kontrak bekalkan ayam ke KFC ada RM1 juta jugalah nilainya).
Itu masa darjah rendah. Naik darjah 5, cita-cita aku nak jadi jurutera robot.
Terpengaruh tengok Voltron, Power Rangers, Cybercop, Transformers (ni zaman
sebelum Michael Bay jadikan Transformers lubuk duit
dia) dan Saber Rider. Setiap kali kelas pendidikan seni, mesti aku lukis robot.
Tak kisahlah tema apa pun. Tajuk “Kampung Halamanku” tapi tiba-tiba ada robot
berlatarbelakangkan awan di celah-celah matahari, burung bentuk Y, sawah padi
petak-petak (padahal kampung aku mana ada sawah, ladang nenas ada laa), dan
rumah kayu berpintu dan tingkap petak-petak. Aku rasa lukisan robot aku adalah
benda paling cantik pernah aku lukis (sampai sekarang pun).
Naik darjah 6, jadi realistik sikit sebab masuk kelas pandai. Maka, bila
ditanya cikgu apa cita-cita, aku jawab nak jadi juruterbang (masa ni
terpengaruh dengan Thunderbirds dan Ultraman pula). Malangnya, tahun tu juga
aku disahkan rabun jauh. Terus aku lepaskan cita-cita nak juruterbang ni. Pada
masa inilah aku sedar, kalau aku boleh jadi apa sahaja, mestilah nak jadi
manusia paling berkuasa di dunia (terpengaruh dengan cerita-cerita yang orang
jahat kerjanya nak menakluk dunia macam The Pinky and The Brain). Mula-mula nak
jadi Perdana Menteri, tapi fikir balik PM Malaysia takde laa besar mana. Fikir
lagi, jawatan paling berkuasa adalah Presiden USA (sebab
masa ni setiap hari nama Bill Clinton keluar Dunia Jam 10 sebab skandal Monica
Lewinsky laa, Somalia laa,
Palestin laa) tapi aku bukan warganegara USA. Ketika inilah satu nama terus
muncul dalam kepala otak aku - Boutros Boutros-Ghali (sampai sekarang tak
faham kenapa nama dia kena ulang 2 kali, macam Eric Djemba Djemba).
Masa aku membesar, tak banyak benda boleh dibuat di rumah. Sebelum ada PC
(tahun 1996 baru ada, Windows 95, game Doom, Gods, Prince, etc menyebabkan aku
jadi gamers) dan Astro (rasanya tahun 1998, channel pun adalah 30 je kot
masa ni), nak mengisi lapang aktiviti sangatlah terhad. Masa duduk
Kampung Pandan merasa juga dikejar angsa, pindah Pandan Indah tengah-tengah
bandar rumah depan jalan besar terus sangap. Nak main Mario kat Atari, kena
tunggu ayah ada kat rumah. Nak main Tetris, kena berebut dengan nenek
(Allahyarham suka main game ni sambil tidurkan adik). Nak panjat pokok mangga,
nanti Achik report kat ayah. Nak keluar jalan-jalan, rumah kawan semua jauh.
Nak main wrestling , Along asyik low blow je. Asyik main masak-masak,
kahwin-kahwin dah bosan (membesar dengan 5 adik-beradik perempuan, ada pilihan
ke?). Maka masa lapang aku banyak terisi dengan membaca. Semua benda aku baca
daripada Mutiara Naga, Pendekar Laut dan Misteri Naga yang aku beli dengan
hasil tabungan duit belanja sehinggalah ke Readers Digest, Newsweek dan TIME yang
ayah aku langgan.
Disebabkan ayah aku kerja bahagian berita RTM masa tu, setiap kali dia ada kat
rumah mesti tengok berita (Allahyarham langgan Astro pun sebenarnya sebab CNN
je). Pada masa inilah nama Boutros Boutros-Ghali asyik keluar. Setiap kali
berita, tak kisahlah TV ke, majalah ke, suratkhabar ke, nama dia setiap masa
ada. Kes perang Bosnia, perang Somalia, perang Israel-Palestin, perang Rwanda,
krisis Timur Tengah, semua benda dia terlibat. Aku rasa masa tu mamat ni memang
power (tapi lepas dah tua ni baru tau dia antara SU Agung PBB yang paling
teruk). Terus kaji apa jawatan dia dan bermula dari saat itu, cita-cita aku
adalah untuk menjadi Setiausaha Agung PBB. Walaupun pernah sejenak bercita-cita
nak jadi Pembaca Berita CNN (masa tu fikir nak kalahkan ayah je, apa barang
RTM), tapi sampai sekarang ini masih cita-cita aku. Dengan kerja yang aku buat
sekarang ni, memang jauh tersasarlah nak capai cita-cita ni. Tapi manalah tau
tiba-tiba terbuka jalan. Boutros Boutros-Ghali masa jadi SU Agung PBB pun dah
tua gila kot.
Itu cerita zaman sekolah rendah. Masuk menengah rendah masih rajin
cikgu tanya soalan cita-cita ni. Masuk menengah atas, lepas dah boleh pilih
aliran, makin jarang. Dalam buku biodata pun dah tak letak dah cita-cita. Masuk zaman
matriks dan universiti, soalan ni lagilah jarang ditanya. Hampir tiada.
Mungkin sebab pilihan kerjaya yang boleh dipilih semakin sedikit disebabkan
jalan yang semakin sempit. Habis belajar nak masuk kerja, makin mustahil nak
dengar soalan ni. Habis kuat pun, soalan ”Di mana anda lihat diri anda 5 tahun
lagi?” masa interview kerja. Maka kita pun tanpa sedar perlahan-lahan menjadi
robot yang mengikut hukum ketetapan sekeliling. Cita-cita masa kecil disorok
dalam ruang paling jauh dalam hati. Dah tak jadi cita-cita, tinggal angan-angan
je.
Disebabkan inilah ramai antara kita mula jadi zombie, ikut rutin harian tanpa
kerelaan. Masa lapang diluahkan untuk mengeluh dan merintih. Motivasi semakin
pudar. Bekerja kerana duit, bukan kerana minat. Keghairahan berusaha semakin
malap. Masa ni, karier yang dipilih mestilah stabil dan menjanjikan pendapatan
yang berpatutan. Komitmen semakin banyak. Hutang keliling pinggang. Tiada masa
untuk berangan-angan (atau bercita-cita). Di sinilah kebanyakannya kita
tersilap. Semasa kecil, setiap kali bagitau cita-cita, mesti kita lontarkan
dengan penuh semangat. Tapi bila semakin kurang ditanya, kita pun semakin lupa
cita-cita yang dipendam. Tiada siapa nak mengingatkan. Maka, mungkin sudah
sampai masa untuk kita masing-masing bertanya kepada diri sendiri, apa
sebenarnya cita-cita kita? Apa yang dikejar? Ke manakah destinasi dituju?
Biarlah cita-cita tu nak anak 8 ke, nak kahwin 4 ke, nak ada empayar perniagaan
sendiri ke, janji kita ada matlamat untuk dituju. Tanpa cita-cita, kita ke akan
depan tanpa arah. Cita-cita adalah Waze kehidupan yang membantu menunjukkan
jalan ke destinasi. Walaupun Waze ni kadang-kadang sesat lagi menyesatkan,
sekurang-kurangnya kita masih boleh berpatah balik atau pun mencari haluan
lain. Janji sampai ke destinasi. Biarkan cita-cita ini berubah-ubah pun
takpe, janji ada. Berapa ramai antara kita, bila ditanya apa hala tuju hidup
kita (dari sudut duniawi), yang blank bila nak jawab? Sampai bila harus sesat?
Sekarang ni, sebagai penamat bicara, aku nak tanya, ‘Apa cita-cita kamu?”
Petang ini: Entahlah cuaca macam mana. Redup kot.
Terperap di pejabat buat kerja tak jenguk pula tingkap. Kerja banyak tapi hati
girang dapat bos baru. Sejak syarikat tukar pengurusan daripada MRCB
Technologies ke XMT Technologies ni, macam dapat semangat baru bekerja.
Daripada nak letak jawatan, sekarang terus tak jadi. Kecuali dapat tawaran jadi
Setiausaha Agung PBB ar. Hihi~