Sehari selepas ayah meninggal, sebelum mak balik dari Mekah, aku buka almari baju ayah dengan harapan ada baju ayah yang cantik-cantik yang boleh aku warisi. Tapi lepas tengok keadaan baju ayah terutamanya baju kerjanya, yang serba lusuh, kolar melepuh, seluar sukan dah melorot getahnya malahan seluar dalam pun koyak-rabak, serta merta aku terus menangis kat situ juga mengenangkan betapa daifnya keadaan pakaian-pakaian ayah yang tinggal. Kalau ada orang tengok koleksi pakaian ayah, pasti tak percaya ini almari pakaian seorang pegawai kanan kerajaan.
Terasa serba salah sebab sebelum itu aku ada mengadu kat mak kena ejek di sekolah sebagai "Duta Pelancongan" sebab baju kemeja-t aku kebanyakannya adalah cenderahati yang dibeli mak dan ayah setiap kali mereka perlu berkerja/berkursus di luar negeri dan negara. Dari Holland sampailah ke Langkawi, baju kemeja-t aku bawa ke asrama memang semuanya ada nama tempat. Teringin juga nak pakai baju Alien Workshop ke, Billabong ke, Quiksilver ke, jenama yang menjadi pujaan remaja pada zaman itu. Tapi aku betul-betul insaf lepas tengok keadaan pakaian ayah. Walaupun baju pelancongan pun, setidaknya masih juga baju baharu. Berbanding pakaian ayah yang mungkin ada yang lebih sedekad usianya.
Terus aku teringat pada suatu malam apabila ayah balik dari kerja bersungguh-sungguh dia peragakan pada aku kasut Pallas Jazz warna biru (atau merah, tak ingat sangat tapi warnanya memang agak keremajaan) yang baru dibelinya. Dalam hati aku masa tu, apa bendalah yang ayah aku teruja sangat beli kasut murah tu. Sudahlah gaya dan warna tak sesuai langsung dengan usia dia pada aku. "Cantik tak Angah? Cantik kan?" berulang kali dia bertanya sambil mencuba kasut tersebut di ruang tamu rumah. Saat itu baru aku faham, barangkali dah lama dia mengidam kasut tersebut, mungkin sejak remaja tapi akhirnya baru dapat beli. Sebab itu ayah yang selalunya garang dan jarang tunjuk gembiranya tetiba jadi kanak-kanak riang hanya kerana sepasang kasut baharu.
Kami 7 adik-beradik tak pernah rasa miskin. Malahan, apa yang ada di rumah kami lebih daripada apa yang ada di kebanyakan rumah lain. Semua berkat pengorbanan ayah yang tak pernah ambil kisah tentang keadaan dirinya. Malahan, berdekad selepas dia meninggal pun, jasanya masih terasa sehingga kini.
Hebatnya kamu tiada tolok bandingnya. Terima kasih ayah atas budimu yang berterusan~
Petang ini: Mendung yang tak hujan. Bagaikan air mata yang bergenang, diseka agar tidak jatuh berlinangan~
